Friday, December 18, 2009

Berfikir merupakan cara khas manusia yang membezakannya dari makhluk lain. Keupayaan berfikir yang dianugerahkan Allah kepada manusia menjadikan manusia dikategorikan sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah Taala. Berdasarkan dalil al-Quranul Karim iaitu:

Firman Allah bermaksud:

” Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak keturunan Adam, Kami angkut mereka di daratan dan lautan, Kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan.”(Al-Israk:70)


Menerusi akal, Islam memandang berfikir itu sebagai media untuk mendekatkan seseorang hamba kepada Penciptanya iaitu Allah Taala dan berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada kehidupannya di dunia ataupun bekalan pada hari akhirat kelak. Berfikir dapat menyedarkan seseorang individu terhadap tanggungjawabnya sebagai status hamba yang diciptakan bukan sia-sia tetapi mempunyai matlamat tertentu iaitu mengabdikan diri dengan beribadah kepada Allah dan sebagai khalifatullah di muka bumi.

Takrifan berfikir dalam bahasa Arab ialah al-fikr. Kalimah ini membawa maksud kepada aktiviti penggunaan akal atau minda dalam konteks untuk mengenal, memahami dan menyelesaikan sesuatu perkara logik dan rasional secara berhati-hati (Kamarul Azmi Jasmi, Ab. Halim Tamuri, 2008). Kehidupan tanpa berfikir diumpamakan seperti kehidupan haiwan. Hal ini kerana keisitimewaan akal fikiran yang ada pada diri manusia tidak diberikan kepada haiwan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah daripada Allah sebagai khalifah di muka bumi berpandukan wahyu daripada Allah di mana amanah ini tidak dapat dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang.


Fungsi akal dalam menjalankan proses berfikir hendaklah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Cara berfikir yang betul menurut Islam penting dalam memandu akal dalam sesuatu tindakan. Budaya menjadikan nafsu sebagai pemandu jalan kehidupan bukan akal fikiran berlandaskan wahyu tidak sepatutnya ada dalam tiap-tiap diri individu yang menganut Islam. Dalam membicarakan konteks kreatif dalam pemikiran ini, telah terbukti bahawa membaca al-Quran dan mendengarkan ayat-ayat serta memerhatikannya, boleh menguatkan akal serta menjadi kreatif di dalam pemikiran. Justeru, menjadi kreatif dalam pemikiran adalah dengan memberi makanan kepada akal setiap hari dengan al-Quranul Karim sama ada dengan mendengarkan bacaannya ataupun membacanya. (Yusuf al-Aqsar, 2005)


Menurut Yusuf al-Aqsar dalam terbitan karya beliau betajuk ”Personaliti Kreatif”, menyatakan bahawa iman dan berfikir merupakan dua unsur terpenting dalam pembentukan keperibadian kita. Hal ini kerana ianya akan membentuk konsep kehidupan manusia sebagaimana ianya menyusun nilai-nilai dasar kehidupan. Buktinya sebagaimana pernah berlaku pada diri Umar al-Khattab yang gemar membunuh dan meminum arak semasa jahiliah. Namun begitu, dengan kemahuan dan fikiran yang mengalir dari permulaan surah Taha, maka beliau memeluk Islam dan berubah dengan memiliki keperibadian yang diredhai Allah. Dapat dirigkaskan di sini di mana perbuatan kita dibentuk oleh perasaan, sedang perasaan dibentuk oleh fikiran kita. Fikiran pula terbentuk oleh nilai-nilai dasar keyakinan kita. Apabila akidah dan keyakinan telah tertanam kuat dan contoh berfikir kita telah terbentuk, maka seseorang akan mengetahui bagaimana dia harus berperilaku.





0 comments:

Post a Comment