Friday, December 18, 2009




Kajian yang dijalankan adalah berkisar kepada proses pencarian, penganalisisan, dan penilaian terhadap lebih 50 buah laman web yang berkaitan dengan tajuk kajian iaitu ”Jenayah Dalam Islam” untuk diintegrasikan dalam P&P. Pengesahan terhadap sumber maklumat ini di ukur berdasarkan standard pemikiran yang ditetapkan di mana terdapat sembilan (9) standard pemikiran yang diperkenalkan oleh Richard Paul dan Linda Elder digunakan. Disamping itu ditambah lagi kriteria hikmah dalam menganalisis dan menilai sesebuah laman web yang bersesuaian tajuk.

Standard pemikiran yang disarankan oleh Richard Paul dan Linda Elder dalam menganalisis dan menilai sesuatu sumber maklumat merangkumi kejelasan, ketepatan, ketelitian, relevan, kedalaman, keluasan, logik, kepentingan, dan keadilan . Huraian ringkas bagi kesembilan standard pemikiran tersebut adalah seperti berikut:

1. Kejelasan

Bagi kriteria kejelasan merujuk kepada sejauhmanakah sesuatu maklumat yang berkaitan isu perbincangan dapat difahami dengan huraian atau penerangan yang jelas dan contoh-contoh yang dapat menerangkan apa yang dimaksudkan. Soalan-soalan yang perlu ada dalam kriteria kejelasan bila mana menyemak kualiti sesuatu maklumat ialah:

1. Bolehkah jelaskan maklumat tersebut dengan lebih lanjut?
2. Bolehkah beri contoh mengenainya?
3. Bolehkah gambarkan apa yang dimaksudkan?


2. Ketepatan

Kriteria ketepatan merujuk kepada sejauh manakah sesuatu maklumat itu tepat dan bebas dari sebarang ralat. Soalan-soalan yang perlu ada dalam kriteria ketepatan bila mana menyemak atau menilai kualiti sesuatu maklumat yang disampaikan ialah:

1. Adakah maklumat tersebut betul-betul benar?
2. Bolehkah kita mengesahkan kebenarannya?
3. Bagaimana kita boleh pastikan bahawa maklumat tersebut benar?

3. Keterperncian

Kriteria terperinci merujuk kepada sejauh mana maklumat yang diberikan dihurai secara terperinci dan khusus untuk memahami sesuatu isu yang dibincangkan. Soalan-soalan yang perlu ada dalam kriteria terperinci dalam menilai tahap kualiti sesuatu maklumat ialah:

1. Bolehkah sesuatu maklumat itu dihuraikan lebih terperinci?
2. Bolehkah maklumat itu dispesifik atau dikhususkan lagi?
3. Bolehkah ianya lebih tepat lagi?


4. Kriteria Logik

Kriteria logik merujuk kepada sejauh manakah seseuatu maklumat itu munasabah dan boleh diterima akal, adakah maklumat selaras pada perenggan pertama selaras dengan perenggan terakhir dan adakah apa yang dikatakan itu berdasarkan bukti. Berdasarkan kriteria logik ini, sesuatu maklumat adalah tidak bercanggah dengan penerimaan akal manusia dan dibuktikan dalam menguatkan hujah bagi maklumat yang disampaikan itu.



5. Relevan
Seterusnya pula adalah kriteria relevan antara elemen yang penting dalam memastikan tahap kualiti sesutau maklumat yang diberikan. Apa yang dimaksudkan dengan kriteria relevan adalah merujuk kepada sejauh manakah maklumat itu berkaitan dan dihubungkan dengan isu yang ditangani serta maklumat yang dinyatakan itu dapat membantu tangani isu tersebut.

6. Kriteria Mendalam

Kriteria mendalam bermaksud kecukupan maklumat dan sajauh manakah perkara yang berkaitan isu diambil kira. Ianya juga boleh menyenaraikan factor dan penyelesaian terhadap isu yang dibincangkan. Persoalan yang perlu dijawab dalam mengupas sesuatu isu:

1. Apakah kesukaran atau masalah berkaitan isu ini perlu dipertimbangkan?
2. Apakah antara kompleksiti yang perlu dipertimbangkan dgn isu yang dibincangkan?
3. Apakah faktor yang sesuai dengan isu tersebut?

7. Meluas

Adapun yang dimaksudkan dengan keluasan pula ialah merujuk kepada memerlukan keluasan maklumat. Sesuatu isu yang dibincangkan dilihat dari pelbagai sudut pandangan atau cara yang berbeza. Persoalan yang perlu dijawab dalam mengupas sesuatu maklumat berkaitan isu:

1. Adakah kita perlu lihat isu yang dibincangkan dari perspektif lain?
2. Adakah kita perlu pertimbangkan pandangan lain?
3. Adakah kita perlu lihat isu yang dibincangkan dengan cara lain?




8. Signifikan (Penting)

Kriteria standard pemikiran jenis ini merujuk kepada sejauhmanakah sesuatu maklumat yang diperbincangkan dalam sesuatu isu adalah perkara penting yang perlu dipertimbangkan. Persoalan-persoalannya termasuklah:

1. Adakah maklumat ini merupakan perkara paling penting untuk dipertimbangkan?
2. Adakah ia merupakan idea utama untuk difokuskan?
3. Yang manakah di antaranya fakta yang lebih penting?

9. Adil

Kriteria adil merujuk kepada sejauh manakah sesuatu maklumat yang berkaitan isu yang ditangani tidak berpihak atau bias kepada pandangan pihak tertentu dan bebas dari kepentingan peribadi. Persoalan yang perlu diambil kira seperti:

1) Adakah maklumat tersebut bebas dari kepentingan peribadi?
2) Adakah sesuatu maklumat yang disampaikan tidak bias/pilih kasih pada pandangan pihak tertentu?
3) Adakah pandangan yang diambil daripada orang lain hanya berdasarkan simpati?

10. Hikmah

Kriteria ini menekankan kepada sejauhmanakah sesuatu maklumat bersandarkan kepada dalil-dalil syarak seperti al-Quran, Sunah, ijma’, Qiyas dan dalil-dalil lain.



0 comments:

Post a Comment